Tuesday, July 5, 2011

DI SEBALIK PENGHARAMAN BERSIH 2.0


Belumpun tiba 9 Julai, jadual perarakan menuntut sistem pilihanraya bersih dan adil yang dianjurkan BERSIH 2.0, situasi politik tiba-tiba menjadi kencang apabila pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan menahan aktivis PSM dan aktivis BERSIH 2.0 dengan berbagai tuduhan yang tidak masuk akal seperti “mahu memulihkan semula PKM”, “melancarkan perang terhadap Yang Dipertuan Agung” dan lain-lain. Kerana sebab-sebab tersebut, KINI DAN SILAM terpanggil untuk menyatakan pandangan kami terhadap masalah tersebut.

Melakukan tangkapan ke atas rakyat tanpa alasan yang sah dan melemparkan tuduhan bodoh adalah tindakan yang sangat tidak professional dan merosakkan lunas-lunas demokrasi. Pihak polis telah berdiri dipihak UMNO Barisan Nasional dengan mengenepikan hasrat rakyat yang ikhlas. Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri yang tidak bermoral tersebut.

Menghidupkan Semula PKM?

Amat melucukan apabila pihak polis dan Menteri Dalam Negeri menuduh PSM sebagai mahu menghidupkan PKM (Parti Komunis Malaya). Berdasarkan beberapa helai T shirt yang dicetak dengan gambar-gambar pimpinan PKM termasuk gambar Che Guavera itu, pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri cuba hendak menghalalkan ISA ke atas mereka bahkan mengharamkan parti tersebut.

Taktik memfitnah sebagai komunis sudah tidak sesuai untuk zaman ini. PKM sudahpun memberhentikan semua aktiviti-aktiviti politiknya. Jasa sejarah yang cemerlang PKM telah diakui oleh ramai ahli sejarah yang benar-benar jujur. Gambar-gambar pemimpin PKM yang tertera pada T Shirt yang dirampas polis tersebut membuktikan penghormatan dan pengakuan rakyat kepada mereka sebagai pejuang kemerdekaan yang sejati di negara ini. Gambar Che Guavera boleh didapati di serata dunia. Che Guavera adalah ikon perjuangan untuk keadilan dan demokrasi bagi berbagai ideologi terutama golongan muda di seluruh dunia dan boleh juga dianggap sebagai stail kesukaan golongan muda. Beliau memang pernah menjadi salah seorang  pemimpin kanan Parti Komunis Cuba tapi beliau sebenarnya bukan berasal dari Cuba. Apakah hanya dengan berdasarkan pada beberapa gambar ini pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri sudah cukup bukti untuk melibatkan PSM dengan komunis?

Jika hendak berkeras dengan sifat anti-komunis, maka kami sarankan siasat dan tangkap siapa yang bertanggungjawab menjalin hubungan politik dan ekonomi dengan Parti Komunis China, Parti Komunis Vietnam, Parti Komunis Cuba dan lain-lain.

Perlu diterangkan bahawa strategi memomokkan PKM adalah kerja jahat penjajah British. PKM yang ditubuhkan untuk menghapuskan penjajahan dan penindasan dan membangun sebuah masyarakat tanpa penindasan dan sama derajat telah ditindas penjajah British sejak ia ditubuhkan pada tahun 1930 lagi. Sumbangan besar PKM dalam Perang Anti Jepun di Malaya pada masa Perang Dunia Kedua, membuat penjajah British terpaksa mengakui kedudukan PKM dan Tentera Anti Jepun Rakyat Malaya (TAJRM) dan memberikan pingat jasa kepada beberapa orang pemimpin kanan PKM, termasuk Chin Peng.

Siapa Sebenarnya Merosakkan Institusi Diraja dan Yang Dipertuan Agung?

Dengan melemparkan tuduhan sebagai “ agenda untuk melancarkan perang terhadap Yang Dipertuan Agung”, pihak polis tidak sahaja memberikan tuduhan yang teramat keji ke atas PSM, tetapi juga cuba mengheret Yang Dipertuan Agung terlibat sama dengan politik kotor UMNO BN.

Siapakah sebenarnya merosakkan institusi Raja-Raja Melayu?
Mengapa Pulau Pinang, Singapura dan Melaka tidak mempunyai raja?
Siapa yang menghalau Sultan Abdullah ke Pulau Seychelles Afrika?
Siapa yang mengurangkan kuasa Yang Dipertuan Agung melalui pindaan perlembagaan?
Siapa yang membantah keputusan Sultan

Jawapan dari soalan di atas telah jelas bahawa penjajah British dan Kerajaan UMNO BN yang bertanggungjawab melakukan pengrosakan besar ke atas institusi Raja Berperlembagaan dan Yang Dipertuan Agung.

Di era penjajahan, British sebagai kuasa penjajah telah melakukan kejahatan dengan sewenang-wenangnya ke atas institusi raja Melayu di mana para sultan boleh dipecat ganti dengan sesuka hati bila tidak sesuai dengan selera penjajah.

Di era pemerintahan UMNO BN (dulu Perikatan), UMNO telah menghapuskan sisa-sisa kuasa Yang Dipertuan Agong dan Raja-raja Melayu melalui pindaan perlembagaan. Yang anihnya, pihak berkuasa polis yang sentiasa melebelkan diri sebagai professional itu membisu, membuta dan memekak terhadap perbuatan yang jelas-jelas “melancarkan perang terhadap Yang Dipertuan Agong”.

Sejarawan Negara Yang Buta Sejarah

Adalah amat malang bagi rakyat Malaysia apabila mereka mempercayai seorang Profesor upahan penjajah dan Kerajaan UMNO BN Tan Sri Profesor Khoo Kay. Mengikut http://www.utusan.com.my , 27 Julai, Profesor upahan tersebut secara tidak langsung mengakui dirinya sebagai pembela penjajah dengan menyebut: ‘‘British tidak pernah menjajah Tanah Melayu, apa yang dilakukan pada tahun 1948 ialah menggabung kuasa sembilan raja Melayu yang berdaulat untuk menjadi sebuah negara bangsa dan British menguasai pentadbiran sahaja,”

Penjajah British ibarat lanun yang merompak sumber kekayaan tanah air dan menguasai politik tanahair itu didandan bagaikan dewa yang membawa rahmat dari kayangan. Apakah putarbelit sejarah ini harus digunapakai walaupun sudah 54 tahun merdeka? Umum sudah mengetahui bahawa penjajah British telah menjajah tanahair kita selama ratusan tahun bermula dari Inggeris menguasai Pulau Pinang pada tahun 1786 hinggalah tercapainya kemerdekaan 1957. Umum juga mengetahui bahawa pakar pemutar belit sejarah yang disanjung tinggi pemerintah ini telah membuat banyak jasa kepada penjajah British dan kerajaan UMNO BN terutama memadamkan sejarah rakyat negara kita menentang kaum penjajah dan memaparkan sejarah mengikut citarasa pihak berkuasa seperti yang ada pada hari ini.

Bersih 2.0 Cerminan Hasrat Rakyat

Sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, rakyat negara kita mendambakan sistem pilianraya yang adil dan bersih, agar politik tanah air benar-benar dicorakkan oleh rakyat negara ini. Harapan rakyat ini telah berkumandang dalam perarakan Bersih pada tahun 2007, tetapi malangnya tuntutan rakyat ini telah dipandang sepi oleh pihak SPR yang jelas telah diperkuda oleh pihak berkuasa.

Perhimpunan Bersih adalah pencerminan hasrat rakyat terkini, menyekat atau melakukan sesutu dengan tujuan provosi bererti menginjak-injak hak rakyat dan sekaligus merosakkan sistem demokrasi itu sendiri. Adalah keterlaluan bila ada pihak menuduh perhimpunan Bersih ini sebagai “mengancam keselamatan negara”.

Pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri sepatutnya bertindak lebih professional berhadapan dengan tuntutan adil rakyat dengan mengeluarkan permit membenarkan perarakan itu berjalan secara aman, biar rakyat menyuarakan isi hati mereka. Akan tetapi, dengan alasan yang direka-reka pihak polis telah bertindak mengikut cita rasa pemerintah UMNO-BN dengan mengharamkan perhimpunan Bersih. Belumpun Bersih melakukan perarakan, pihak polis telah melakukan penangkapan dan penggeledahan.

Walau apapun, disebalik pengharaman Bersih 2.0 ini, kita dapat melihat bahawa kesedaran masyarakat kita sudah maju ke depan. Kerajaan UMNO-BN sudah hilang akal dan yakin diri berhadapan dengan kebangkitan ini. Demokrasi berparlimen tidak lagi menjamin kekuasaan mereka. Mereka sekarang terpaksa mengharapkan kuasa polis, tentera, mahkamah dan alat sebaran am yang berpaut padanya untuk menyelamatkan kekuasaannya.

Tetapi ketahuilah bahawa Akta ISA atau Undang-undang Darurat bukannya jawapan yang tepat bagi menyelesaikan persoalan ini. Sesiapa yang menginjak-injak hak rakyat dan mengamalkan sistem diktator, maka kesudahannya samalah dengan para pendahulu mereka seperti diktator Thanom Praphat di Thailad, diktator Marcos di Filipina, diktator Suharto di Indonesia dan lain-lain.

No comments:


www.infinitydownline.com
Learn how anyone,(even internet dummies) can create sick amounts of money by turning $25 into a Mega Fortune!