Friday, June 20, 2008

Keadilan adalah sinar yang memancar dari Syariat Islam yang agung

Abdul Shukur Harun
Mon | Jun 16, 08 | 4:27:42 pm MYT

Keadilan adalah sinar yang memancar dari Syariat Islam yang agung, bahkan ia adalah paksi dari seluruh nilai syariat tersebut. Ia tempat bernaung bagi semua insan di bumi ini. Kata ulama, Syariat Islam bagai mata air yang memancar di gunung pasir yang tandus, semua orang memerlukannya.
Justeru itu ketika Pakatan Rakyat bersiap untuk menyambut 100 hari pemerintahannya beberapa hari lagi di lima negeri, para pemimpin dan pendukungnya, di samping memikirkan apa janji yang sudah ditunaikannya terhadap rakyat dan apa pula janji yang belum ditunaikan, sewajarnya agenda keadilan itu menjadi aspirasi mereka melaksanakan pemerintahan.
Para pengundi yang memilih Pakatan Rakyat pada 8 Mac lalu mahukan mereka diberikan keadilan, kesaksamaan, kebebasan dan demokrasi untuk menyedut udara bebas dan menikmati harga diri. Inilah sebenarnya amanah rakyat kepada Pakatan Rakyat.
Adapun nikmat material yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat itu ? air percuma untuk beberapa ukuran awal, cukai pintu dan tanah yang hendak diturunkan, pemberian tanah kepada yang berhak, bantuan pendidikan, ibu tunggal, fakir miskin dan segalanya memang wajar ditunaikan oleh Pakatan Rakyat, walaupun secara bertahap.
Namun lebih jauh daripada semuanya ini, di samping keselesaan hidup rakyat, adalah jaminan bahawa mereka mendapat keadilan, kesaksamaan, perlindungan jiwa dan harta.
Contoh keadilan dapat dinikmati rakyat adalah semasa pemerintahan Khulafa?ur-Rashidin, Umar Al-Khatab. Justeru itu para pemimpin dan pendukung lima negeri Pakatan Rakyat ini sewajarnya merenung dan mencontohi asas kaedah pemerintahan Umar. Tidak berlebihan dinyatakan bahawa pemerintahan PAS Kelantan di bawah pimpinan Tuan Guru Dato? Nik Abdul Aziz Nik Mat mendapat inspirasi daripada pemerintahan Umar dalam menjalankan pemerintahan selama 18 tahun itu dan ternyata mendapat keberkatan.
Benar, pemerintahan Umar berbeza suasana politik dan ekonomi serta sosial dengan keadaan zaman kini. Dengan itu mungkin ada yang beranggapan bahwa membandingkan suasana dua zaman yang berbeza ini adalah tidak wajar. Namun kita berbicara di sini dari segi asas dan prinsip pemerintahan Umar yang perlu dicontohi. Dalam suasana kekalutan seperti sekarang inipun pemerintahan yang adil dan saksama boleh ditegakkan.
Suatu fakta sangat jelas adalah pemerintahan Umar melimpahkan keadilan, kesaksamaan, kepedulian terhadap umat dan demokrasi dalam erti bahawa rakyat berpeluang mengkritik khalifah secara berdepan, tanpa takut dan bimbang menerima hukuman. Inilah kemuliaan Umar.
Beliau adalah salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang memiliki keistimewaan luar biasa dalam seluruh dimensi kehidupan dan pemerintahannya. Dia bukan hanya khalifah yang ditaati dan disayangi rakyat, panglima perang yang gagah berani, ahli hukum, digeruni musuh, mujtahid yang cemerlang dan produktif, beliau juga adalah ahli ibadah yang sentiasa menitiskan air mata takutkan Allah SWT, malah ia digeruni syaitan dan iblis.
Keagungan peribadinya ini ditambah dengan kecerdasan dan pemahamannya yang sangat baik terhadap ajaran Islam dan maqasid syariah. Umar telah menyumbangkan hasil ijtihadnya yang sangat berharga terhadap umat Islam, bahkan semua umat manusia.
Ijtihadnya mengenai pengagihan harta untuk rakyat, masalah harta rampasan perang, orang yang baru masuk Islam, hukuman kepada pencuri, khianat kepada harta awam, pembunuhan, salah guna kuasa oleh para penguatkuasa pada zamannya, penzina dan peminum arak dan penjudi sangat jelas dan adil. Bahkah Umar sendiri menyelesaikan masalah rakyat mengenai perselisihan keluarga, nikah kahwin, kelaparan dan kemiskinan dan hampir semua bidang kehidupan.
Walaupun masyarakat pada zamannya dalam jumlah kelompok yang kecil, dibandingkan masa kini, apa yang penting beliau menyelesaikan masalah rakyat secara adil dan saksama, tanpa pilih kasih kepada kaum keluarga dan sahabat handai. Kepadanya pemerintahan itu adalah suatu amanah, bukan untuk merebut kekayaan dan pengaruh. Pemimpin akan ditanya di akhirat nanti oleh Allah SWT akan kepimpinannya dan caranya memerintah.
Seorang sahabat bertanya kepadanya pada suatu hari, bahawa adakah beliau bermaksud untuk mewariskan pemerintahannya ini kepada anaknya. Umar segera menjawab dengan tegas, "cukuplah aku seorang menanggung amanah yang sangat berat ini."
Dengan keadilan Umar ini, setiap orang dapat berteduh di bawah kepimpinannya yang sangat prihatin terhadap rakyat. Ini adalah kejayaan khalifah itu melaksanakan keadilan seperti apa yang terpancar dalam syariat Islam.
Penulis dapat membayangkan jika keadilan dan kesaksamaan serta peduli rakyat dapat dilaksanakan oleh pemerintahan Pakatan Rakyat di lima negeri ini walaupun permulaan dan kecil-kecilan dan bertahap, maka rakyat, terutamanya bukan Islam, akan menyaksikan gambaran keadilan Islam dan tentunya ini sebagai tebaran dakwah yang penting.
Selama ini yang tergambarkan di depan umum masa kini adalah bahawa pemerintahan umat Islam, di mana-mana pun, adalah pemerintahan yang tidak demokratik, tidak adil, tidak terbuka, penuh dengan rasuah dan penyelewangan serta diskriminasi. Ini persepsi umum yang dijelmakan oleh pemerintahan mereka selama ini sehingga sukar mencari contoh terbaik pemerintahan Islam masa kini.
Justeru, walaupun Pakatan Rakyat setakat ini hanya memerintah lima negeri, mereka mestilah menunjukkan komitmen sebuah pemerintahan yang adil, demokratik, peduli rakyat dan terbuka. Memang tidak mungkin dapat dilaksanakan semuanya dalam 100 hari ini, namun komitmen mestilah diperlihatkan dibuktikan terhadap melaksanakan semuanya ini tahap demi tahap.
Para pengundi sedang menyaksikan apa yang dilakukan oleh pemerintahan Pakatan Rakyat, malah mereka sedar bahawa kerajaan itu baru memerintah seratus hari, namun jika mereka melihat tanda-tanda keadilan dan keterbukaan itu mulai terserlah, walaupun baru sedikit, nescaya mereka akan menaruh keyakinan bahawa inilah sebuah pemerintahan yang memberi harapan.
Jika semuanya berjalan lancar, segala masalah dan cabaran dapat diatasi dengan penuh bijaksana, para pemimpin dan pendukung tiga parti dalam pakatan itu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh ikhlas tanpa sebarang kepentingan peribadi, keluarga dan saudara mara, nescaya ? dengan izin Allah SWT ? rakyat akan mengundi mereka empat tahun lagi

No comments:


www.infinitydownline.com
Learn how anyone,(even internet dummies) can create sick amounts of money by turning $25 into a Mega Fortune!