Thursday, June 30, 2011

10 November Yang Diingati - Rizal 'Syeikhryz' Hamdan









Remember, remember the fifth of November,
The gunpowder, treason and plot,
I know of no reason
Why the gunpowder treason
Should ever be forgot.”
Berikut merupakan petikan dari filem V for Vendetta yang dilakonkan berdasarkan tragedi komplot meletupkan Parlimen Britain oleh sekumpulan puritan Katolik yang memberontak kepada pemerintahan despotik Dinasti Stuart. Di akhir tragedi, Guy Fawkes yang merupakan salah seorang ahli komplot ditangkap dan dihukum mati. Peristiwa ini diabadikan dengan penjelmaan watak V di dalam filem tersebut. Namun, rangkap diatas boleh ditukarkan kedalam bentuk yang lain seperti:

Remember, remember, the 10th of November,
The massive demonstration of the people,
I know of no reason,
Why the demonstration,
Should ever be forgot!.

Namun,peristiwa demonstrasi tersebut bukanlah aksi ekstremisme yang bertujuan untuk membunuh mana-mana aktor politik, jauh sekali menjahanamkan sistem politik, namun lebih bertujuan untuk memoralkan sistem yang sedia ada. Perkara ini terjadi lantaran dari sistem yang sedia ada sudah terpalit dengan kekotoran oleh "tangan-tangan ghaib" manusia yang terpesona dengan keindahan duniawi, sehingga menyebabkan keperluan rakyat diketepikan. Jika perkara ini dianalisis dari perspektif marxisme (mungkin penulis perlu berhati-hati apabila menyebut berkenaan marxisme selepas ini kerana terdapat manusia yang mengaku pejuang Islam sejati melabelkan penulis sebagai pecinta marxisme,kerana beliau tidak faham aliran ilmu sains sosial) sistem bergenara dibawah kapitalisme sudah terjejas dan rosak teruk serta perlu dilakukan revolusi sebagai jalan keluar untuk mencapai masyarakat yang egalitarian. Tetapi memadai dengan memoralkan sistem yang sedia ada dengan menyuntik elemen Islamisasi kedalam konstruksi sosial ke atas budaya masyarakat. Kebangkitan 10 november dilihat oleh kebanyakan saintis politik sebagai titik tolak kepada tragedi tsunami politik pada pilihanraya ke 12 baru-baru ini. Kebangkitan 10 november memang tidak dinafikan telah membuka mata rakyat bahawa hak asasi mereka telah ternoda selama hampir 50 tahun dan ia juga membuka minda rakyat bahawa selama ini mereka telah hidup dibawah hegemoni BN selama hampir 5 dasawarsa dengan penuh kesengsaraan. Dihimpit dengan pelbagai masalah sosial, ekonomi dan politik sehingga menyempitkan peluang untuk meneruskan hidup. Kebangkitan 10 november juga dilihat sebagai isyarat bahawa rakyat sudah jemu hidup dibawah retorik yang membosankan. Rakyat sudah berani melakukan perubahan walaupun hanya 45 % dari perubahan yang sebenar.

Kebangkitan 10 november secara umumnya menyedarkan rakyat betapa selama ini mereka mempunyai hak-hak yang tertentu yang termaktub di dalam Perlembagaan negara dan hak-hak asas (politik) mereka sebagai manusia. Perkara 10 perlembagaan memberikan ruang kepada rakyat untuk berhimpun dan berpatisipasi secara aman di dalam kegiatan politik dan sivil. Selama 5 dekad fikiran rakyat telah dikonstruksi dengan dakyah negatif bahawa hanya satu parti yang layak memerintah, hanya satu parti yang boleh membuat perubahan dan tanpa kita sedari bahawa selama itu jugalah kita hidup dibawah konstruksi sosial yang membataskan kreativiti akal kita yang telah dikurniakan oleh Illahi. Penulis berani mengatakan bahawa kebangkitan rakyat 10 november boleh dilihat sebagai counter-hegemoni kepada dominasi satu parti di dalam negara Malaysia. Namun yang menjadi masalah ialah bagaimana untuk mengekalkan momentum tersebut?. Penulis melihat bahawa kebangkitan di Malaysia hanya akan terjadi apabila sesuatu yang berbentuk emosi dan tidak bersandarkan kepada akar intelektualiti. Momentum ini ibarat api yang menyala di dalam keadaan angin ribut. Tanpa perlindungan, api ini akan terpadam suatu masa nanti bilamana rakyat kembali terpasung dibawah hegemoni parti lama. Perkara ini terjadi bilamana hampir majoriti rakyat masih tidak faham akan hak masing-masing. Kritikan dapat diberikan kepada dasar pendidikan negara yang tidak langsung menekankan keperluan memperlajari perlembagaan Malaysia sebaliknya ia hanya diadun di dalam matapelajaran sejarah atau kajian tempatan barangkali. Pada peringkat ini, untuk mengekalkan momentum perubahan,pihak pembangkang harus sentiasa menjalankan kempen yang kritikal dengan isu semasa.Tidak mustahil akan timbul isu-isu besar untuk didedahkan,namun era politik baru ini hanya akan dinikmati oleh masyarakat bandar berbanding masyarakat luar bandar. Kerana, kempen-kempen sebegini hanya berlegar disekitar masyarakat kota. Trickle down effect atau kesan titisan kebawah perlu berlaku dimana informasi tersebut mencakupi seluruh masyarakat tanpa mengira kawasan.

Kebangkitan 10 november merupakan sesuatu yang begitu nostalgik. Bukan sahaja kepada penulis,bahkan kepada seluruh rakyat Malaysia. Kebangkitan ini telah meletakkan tahap bahawa berlaku kebangkitan demokratisasi di Malaysia.Mungkin akan banyak penulis lain yang akan menceritakan pengalamannya ketika kebangkitan ini terjadi,namun penulis lebih gemar mengulas dari bagaimana untuk mengekalkan semangat kebangkitan ini agar terus marak di dalam jiwa masyarakat.Persoalan ini yang membungkam fikiran penulis. Kebangkitan seharusnya bersifat memoralkan sistem yang sedia ada disamping suntikan elemen-elemen pembaharuan seperti Islamisasi ilmu contohnya. Namun penulis menolak percubaan untuk pembaharuan seperti yang berlaku di Thailand yang keterlaluan sehingga menjejaskan situasi negara.Perkara ini dapat dielakkan dengan kita menurut peruntukan undang-undang dan menjaga etika masing-masing. Penulis turut berpegang bahawa pembaharuan yang tulen hanya dapat dilakukan dengan penjelmaan manusia yang tercerahkan akal melalui budaya Ilmu yang mengesakan Illahi.Perkara ini kerana, masyarakat yang cerah akal fikiran cenderung mengambil tindakan rasional dan mampu memilih di antara kebaikan dan keburukan. Ini akan menjadikan proses kebangkitan sebagai sesuatu yang begitu bermakna kepada tamadun manusia.

Walau apa pun, hari ini telah genap 1 tahun kebangkitan rakyat untuk menuntut pilihanraya yang BERSIH dan ADIL. Kebangkitan 10 november bukanlah berkisar dengan tuntutan mengulingkan kerajaan secara radikal dan revolusi, namun lebih kepada menuntut perubahan di dalam sistem pilihanraya agar proses penukaran kerajaan berlaku di dalam keadaan yang adil dan saksama. Proses pilihanraya yang adil akan menghasilkan pembentukan kerajaan yang terbaik dan prihatin akan suara rakyat.

10 november akan sentiasa diingati sebagai hari pembebasan rakat dari hegemoni satu parti yang membelenggu fikiran selama 5 dekad. Ia bukan sahaja sebagai hari demonstrasi besar-besaran,tetapi mempunyai makna dan falsafah yang tersendiri. Perkara yang terpeting ialah, ia merupakan mesej rakyat kepada kerajaan bahawa mereka akan sentiasa dinilai dari semasa ke semasa berdasarkan prestasi mereka. Jika berlaku penipuan, korupsi dan penyelewengan oleh pihak kerajaan, penulis meramalkan akan berlaku kebangkitan semula suatu masa nanti,namun diharapkan kebangkitan rakyat ini bertujuan memoralkan sistem yang sedia ada bukan bertujuan memusnahkan sistem.

Wallahualam....

Dari blog:-

Monolog Wacana Ilham & Ilmu

syeikhryz.blogspot.com

No comments:


www.infinitydownline.com
Learn how anyone,(even internet dummies) can create sick amounts of money by turning $25 into a Mega Fortune!