Monday, April 18, 2011

Hina Sultan Kelantan Dalam Facebook

SHAH ALAM – Polis diminta bertindak tegas terhadap kenyataan berbaur hasutan seorang individu di laman sosial ‘Facebook’ yang didakwa menghina Sultan Kelantan dan rakyat negeri itu. Perantau Kelantan di sini, Izwan Abdul Hadi mewakili seluruh rakyat Kelantan di Lembah Klang berkata, polis diminta memandang serius isu yang boleh mencetuskan provokasi kenegerian, kedaulatan raja dan perkauman kerana kesemua perkara itu adalah sangat sensitif dalam kalangan rakyat negara ini.


Menurutnya, individu yang didakwa dari Perak itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan melampaui batas sehingga menyentuh ketua negeri terutama raja atau sultan, sedangkan ia hanya perlawanan bola sepak (merujuk kepada kekalahan Kelantan kepada Perak Selasa lalu).

“Kami benar-benar kesal dengan kenyataan dia sebab itu hanya sukan dan permainan, janganlah keterlaluan. Jangan membusukkan negeri Perak dengan tindakan seperti itu sebab kami juga mempunyai ramai kenalan dari Perak.

“Dia kena ingat Perak pun bernaung di bawah Raja Melayu, janganlah menghina Raja Melayu negeri lain. Saya juga berharap perkara ini mendapat perhatian Majlis Raja-Raja Melayu demi kebaikan seluruh rakyat di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis bersama Kelab Penyokong Kelantan FA, Ultras Kelantan, Kelab Anak-anak Kelantan Di Perantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini semalam.

Izwan berkata, kemarahan rakyat Kelantan tidak akan tercetus sekiranya tidak ada provokasi kenegerian dan perkauman dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab seperti itu.
Beliau tidak mahu keakraban rakyat Malaysia di negeri Perak dan Kelantan menjadi renggang disebabkan kenyataan itu.

Izwan juga berharap rakyat negeri lain terutama peminat bola sepak mengambil iktibar daripada apa yang berlaku. Selasa lalu, Perak menewaskan Kelantan 4-0 dalam perlawanan Liga Super 2011 di Stadium Ipoh, Perak.

Sementara itu di Manjung, Perak, lebih 20 ahli NGO Kelantan di daerah itu berhimpun membantah tindakan individu terbabit. Mereka turut membuat laporan polis.

Pengerusi Persatuan Anak Kelantan Perantauan (Perakan) Manjung, Muhd Fadzli Saud (gambar) berkata, pihaknya terkilan dengan tindakan individu itu mencaci rakyat dan Sultan Kelantan.

“Kenyataan itu mungkin boleh mencetuskan perbalahan sesama kita,” katanya. Wakil Kelab Dikir Barat Seri Perantau, F Azman Ismail berkata, pihaknya kecewa dengan perbuatan individu terbabit.

“Harap polis ambil tindakan segera,” katanya. Antara NGO menyertai perhimpunan itu Anak Kelantan TLDM, Kumpulan Dikir Barat Seri Perak, Peniaga-peniaga Kelantan Daerah Manjung dan Kelab Muay Thai Manjung./SH

No comments:

www.infinitydownline.com
Learn how anyone,(even internet dummies) can create sick amounts of money by turning $25 into a Mega Fortune!

Amazon MP3 Clips